Salutasi

Khamis, 10 Februari 2011

Diari Sosiolinguistik


Situasi: Kerana Budi Aku Jatuh Cinta









  
Saya pernah ditanya oleh seorang teman, perasaan suka akan seseorang itu berdasarkan  harta atau budinya? saya yakin menjawab sudah tentu kerana budinya.

Pernahkah kita merasa suka akan seseorang kerana budi bahasanya? Pasti pernah bukan?Sekiranya kita terjumpa seseorang yang berbudi  secara ikhlas bukan dengan niat mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain, maka kita sendiri akan rasa terharu dan bangga kerana masih ada lagi rmasyarakat  kita yang tahu berbudi  kepada orang lain. Terutamanya, masyarakat Melayu haruslah tahu adab dan berbudi kerana ia  sepatutnya sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu.

         Masyarakat Melayu begitu menghargai dan menjunjung tinggi budi. Mereka menilai segala sesuatu itu berdasarkan pada budi. Buktinya, kecantikan seseorang bukan dinilai pada paras rupanya tetapi dinilai pada budi bahasanya. Manusia akan dipandang hina jika tidak berbudi, dan satu-satu bangsa itu pula akan runtuh jika budinya runtuh. Hal ini tergambar dalam pantun Melayu lama di bawah:
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya.
Tanda-tanda budi pula ialah bahasa, dan antara wang ringgit dengan budi, budilah yang tetap dipandang orang, dan budi yang baik pula akan sentiasa dikenang sampai mati. Gambaran tentang peri pentingnya budi ada diungkapkan dengan begitu indah dalam pantun Melayu lama seperti yang berikut:
Makan sirih berpinang tidak,
Pinang ada di bawah tangga;
Makan sirih mengenyang tidak,
Tanda budi dengan bahasa.

Oleh yang demikian, pandanglah seseorang berdasarkan budinya kerana budi boleh dibawa sampai ke mati, iaitu, amalan budi di dunia boleh dihitung di akhirat manakala janganlah pandang seseorang kerana nama, harta, kecantikan, pangkat dan sebagainya kerana semua itu tidak boleh dibawa mati.

Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit pandangan orang,
Pandangan atas budi pekerti.
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan