Salutasi

Isnin, 14 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

Situasi : Penangan Hantu Kak Limah.


Saya dan kawan-kawan selalu membuat lawak di dalam kelas. Setiap lawak tersebut pasti akan diselitkan dengan dialog-dialog yang terdapat dalam filem hantu komidi, Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid. Saya dan rakan-rakan sangat suka menonton filem ini kerana lawaknya yang bersahaja dan jujur, tidak dibuat-buat oleh para pelakonnya sehingga kami akan terikut-ikut pada masa-masa tertentu untuk menambahkan keceriaan di dalam kelas. Filem ini benar-benar lucu jika kita hayati dialog-dialognya kerana setiap dialog yang terdapat dalam filem ini membawa mesej atau maksud tersirat yang tertentu yang membawa pengajaran kepada para penontonnya.


Hantu Kak Limah Balik Rumah Sebuah Komidi Jujur.
Ditulis oleh Nonie   
Khamis, 25 November 2010 13:56   


Pecah panggung dengan jerit tawa memenuhi ruang. Kesinambungan daripada filem Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) masih mengekalkan genre komedi seram dan penuh kejutan. Walau tidak membariskan bintang ternama atau memaparkan adegan seksi, HKLBR tetap menarik dan menghiburkan.
    Sutradara Mamat Khalid

Mungkin daripada tajuk, penonton boleh mengagak apa yang bakal berlaku kepada jalan penceritaannya, namun filem ini bukanlah klise seperti yang ada pada sesetengah filem tempatan. Menegaskan filem arahannya merupakan anti tahyul, Mamat Khalid berkata ini adalah cara untuk menonjolkan budaya Melayu penuh dengan budaya tahyul yang terlalu kuat.

"Filem ini merupakan sebuah filem abang yang jujur yang disampaikan melalui komedi. Abang cuba menunjukkan bahawa masyarakat kita kuat dengan budaya tahyul. Walaupun sudah maju ke depan, namun tahyul masih menguasai pemikiran.

"Banyak juga kritik sosial dan metafora yang cuba diselitkan dan harapnya penonton akan faham apa yang cuba disampaikan. Sebagai contoh kalau kita penagih, seumur hidup orang akan gelar begitu.

"Abang baiki apa kekurangan dalam Zombi Kampung Pisang berdasarkan kritikan yang diterima menerusi filem ini. Cuma topik penceritaan dan karektornya berlainan, namun masih berlaku di Kampung Pisang. Walau watak baru diperkenalkan, namun ia cukup kuat untuk mengaburi watak lama," kata sutradara terkenal ini.

Filem terbitan Tayangan Unggul ini menelan belanja RM1.5 juta dan lokasi penggambarannya dijalankan di sekitar Kuala Kangsar. ManggaOnline (MO) cukup terhibur dengan jenaka dan sindiran yang cukup tajam apabila menyentuh isu sosial yang berlaku. Bukan niat menimbulkan kontroversi, Pengarah Terbaik FFM21 hanya sekadar menyuarakan isi hati melalui karya.

"Harapnya penonton dapat menangkap dialog yang diselitkan yang menyentuh isu masyarakat. Terimalah dengan hati terbuka dan jangan rasa marah sehingga mengganggu konsentrasi. Matlamat utama filem ini hanyalah untuk berhibur. Secara jujur abang sendiri lebih sukakan HKLBR kerana durinya lebih tajam.

"Abang yakin jika tak tonton Zombi Kampung Pisang pun masih boleh faham dan mengikuti HKLBR kerana ia berdiri sendiri dengan penceritaannya. Jika terhibur baguslah, namun jika faham apa yang cuba disampaikan, itu merupakan satu bonus," katanya menjelaskan watak Kak Limah memang direka khas buat Delimawati.


Filem ini harus ditonton kerana lawak jenakanya segar dan mampu membuatkan penonton menjerit ketakutan melihat Hantu Kak Limah. Dan sebahagian dialognya masih melekat dalam kepala. Jika dulu mungkin 'otak otak' menjadi sebutan. Dan kini dalam HKLBR dialog 'cecite cecite' ketika orang kampung sakan berbual, mungkin bakal menjadi ikutan.

HKLBR mengisahkan Husin yang telah lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya,

Kak Limah langsung tidak bercakap dan rambut yang mengerbang semacam. Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur. Husin bergegas ke warung Pak Munawer, lalu menceritakan kepada orang-orang kampung yang mungkin Kak Limah sudah menjadi hantu. Siapa yang berjaya menghurai misteri hantu Kak Limah tersebut? Temui jawapannya dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Filem ini dibintangi oleh Awie, Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera, Pekin, Shoffi Jikan dan Delimawati. Filem best ini akan mula ditayangkan pada 9 Disember 2010. 


                                    Antara barisan pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan