Salutasi

Jumaat, 18 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

Situasi : Tindakan Kolektif Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap Bencana Alam yang Menimpa Jepun.


Kejadian bencana alam di Jepun turut mengundang simpati dalam kalangan ahli-ahli DUN hari ini apabila mereka semua mengambil kata sepakat akan menghantar surat takziah kepada pihak Kementerian Jepun ke atas rakyatnya yang mengalami penderitaan akibat kejadian tersebut. Sekiranya kesepakatan ini berterusan dalam menangai permasalahan rakyat di Malaysia maka tiadalah lagi persengketaan politik berlaku. Tindakan ini juga sebenarnya merupakan tindakan awal ke arah perpaduan tanpa mengira lambang politik kerana semuanya mempunyai matlamat yang sama, iaitu mahu membela hak rakyat. Saya amat berbangga dengan tindaka yang akan dilakukan oleh ahli-ahli DUN hari ini kerana kita harus ingat akan pepatah Melayu ini, ' Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa'.


Dewan Lulus Usul Takziah kepada Jepun
Oleh Nazura Ngah, Norakmah Mat Youb dan Zanariah Abd Mutalib
bhnews@bharian.com.my

2011/03/18

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DewanlulususultakziahkepadaJepun/Article 


Najib dan Muhyiddin bersama Ahli Parlimen bertafakur mengenang mangsa gempa dan tsunami Jepun pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan usul mengucapkan takziah dan dan menzahirkan simpati yang sangat mendalam kepada kerajaan Jepun dan mangsa tragedi gempa bumi serta tsunami di timur laut Jepun pada 11 Mac lalu. 

Ahli Parlimen dan persidangan juga bertafakur seminit sebagai mengingati tragedi yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan teruk negara Matahari Terbit itu.
Usul yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) diluluskan sebulat suara selepas sesi penggulungan perbahasan oleh Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Sebelum itu Dewan mendengar perbahasan sembilan Ahli Parlimen masing-masing tiga daripada Barisan Nasional (BN), pembangkang dan wakil Bebas.

Mereka ialah Datuk Dr S Subramaniam (BN-Segamat), Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) dan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Tian Chua (PKR-Batu), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku di Jepun adalah sesuatu yang amat menyedihkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terutama negara Asia.
Sebagai negara yang akrab dengan Jepun, Malaysia turut merasakan beban yang terpaksa ditanggung rakyat negara itu.

“Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Adalah wajar jika Malaysia menawarkan dan menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang termampu oleh negara kita. Marilah kita berdoa supaya kerajaan dan rakyat Jepun dilindungi daripada gempa bumi dan tsunami serta membangunkan semula akibat bencana itu,” katanya.

Sehubungan itu Perdana Menteri meminta semua Ahli Parlimen bersama, sepakat dan seia sekata menyampaikan rasa simpati dan ucapan takziah yang amat dalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun.

Perdana Menteri berkata, mengikut rekod Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, ada 5,009 rakyat Malaysia berdaftar dengan kedutaan dan 2,465 ialah pelajar. Seramai 298 pelajar kita berada di kawasan yang terjejas teruk akibat gempa dan tsunami dan dilaporkan selamat.

Beliau turut mencadangkan Dewan merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas segala bantuan yang diberi kepada rakyat Malaysia, terutama pelajar Malaysia yang terjejas oleh malapetaka itu.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengambil langkah awal seperti menghantar dua pasukan memantau dan meninjau keadaan rakyat serta pelajar Malaysia yang dipindahkan ke pusat pemindahan. Hasil tinjauan mendapati mereka dalam keadaan baik, menerima bekalan makanan dan minuman mencukupi,” katanya.

Perdana Menteri turut meminta rakyat dan masyrakat antarabangsa terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Jepun.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyokong usul berkenaan, berkata ia memberikan gambaran sangat jelas mengenai pendirian Malaysia yang mempunyai hubungan akrab dengan Jepun.

Beliau meminta rakyat bertenang dan tidak mempercayai SMS yang kononnya Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan kebocoran radiasi akibat letupan loji reaktor nuklear.


 

 

Khamis, 17 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

Situasi: Kempen Budi Bahasa


Suatu hari, di pejabat fakulti universiti. Seorang mahasiswi yang bernama Tak Bernama ingin menemui seorang pensayarah, dia menjenguk ke bilik pejabat pensyarah tersebut namun didapati tiada di dalam bilik. Dia lantas pergi ke bilik sebelah yang merupakan pejabat kerani kepada pensyarah tersebut untuk bertanyakan ketiadaan pensayarah tadi.


Tak Bernama : Assalamualaikum cik, boleh saya tumpang tanya? Dato' ada di mana sekarang? Saya ada perkara nak bincang dengannya berkenaan program.
Cik Kerani    : Dia tak da lah sekarang. Dia ada mesyuarat sekarang.
Tak Bernama : Oh...bila agak-agak dia habis mesyuarat cik?
Cik Kerani    :  Entahlah, saya tak tahu. Awak tunggu saja di luar.

Selepas menjungkitkan bahu, Cik Kerani terus menyambung kerjanya menaip sesuatu di papan kekunci tanpa mempedulikan lagi mahasiswi terbabit.

Tak Bernama : Hmm..tak mengapalah. Terima kasih ya.

Tak bernama berlalu keluar dari bilik tersebut dengan perasaan hampa. Bukan hampa kerana pensyarah yang ingin ditemuinya tiada, tetapi hampa kerana layanan yang diberikan oleh Cik Kerani yang acuh tak acuh dan tidak mesra pelanggan. Walaupun dia cuba sedaya upaya untuk berbudi bahasa kerana dia seorang pelajar yang belajar bahasa Melayu, namun harapan supaya orang lain supaya turut menyambut budi bahasanya menghampakan. Walau bagaimanapun, dia tidak pernah berputus asa untuk berbudi bahasa dengan orang lain walaupun responnya sama seperti tadi.

 Komen:

Pada pendapat saya, tindakan dan sikap Tak Bernama amat bagus kerana dia tetap tidak berputus asa dengan amalan mahu berbudi bahasa dengan orang lain. Sebenarnya sudah banyak usaha  telah dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada pihak kerajaan mahu pun swasta menagadakan pelbagai aktiviti kesedaran tentang kepentingan berbudi bahasa. Misalnya, Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi bertempat di Istana Budaya bertarikh 11 Januari 2005 merupakan satu kempen yang dirasakan sesuai dengan persekitaran hari ini demi kesejahteraan masa depan. Malahan, ini merupakan susulan kepada usaha Institut Sosial Malaysia (ISM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kepimpinan Datin Profesor Roziah Omar yang telah menganjurkan satu Seminar Nilai dan Pembangunan Sosial ke arah pemantapan Dasar Sosial Negara (DSN) dan masyarakat cemerlang pada 16 September 2004.

Dihantar pada 6 Januari 2010

Sejauh Mana Keberkesanan Kempen Budi Bahasa?

Oleh Jumiati Rosli

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Lagu "Budi Bahasa Budaya Kita" nyanyian penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sudah lama menjadi siulan ramai, dan pencapaian program budi bahasa ini dilaporkan membanggakan, terutama di peringkat barisan depan perkhidmatan awam.

Kempen Budi Bahasa yang dilancarkan pada 11 Jan 2005 merupakan agenda lima tahun kerajaan dalam misinya melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa.

Situasi di mana pemandu tidak bertimbang rasa di jalan raya, orang ramai membuang sampah sesuka hati, memotong barisan, tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan, bercakap kasar dengan pelanggan dan merokok di kawasan larangan merokok ialah antara situasi biasa yang masih dilihat.

Malah budi bahasa yang paling asas iaitu melemparkan senyuman dan mengucapkan terima kasih masih sukar dilihat dalam masyarakat kini.

Beberapa pakar yang ditemui berkata kempen itu, yang kini dinamakan program Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni, baik tujuannya dan memang perlu diteruskan biarpun keberkesanannya belum meluas.

KEMPEN BELUM MELUAS

Pengarah pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata keberkesanan kempen itu dilihatnya masih terbatas.

"Kempen yang dijalankan ini bercorak dari atas ke peringkat bawah, akar umbi.Jadi program yang diadakan selalunya bercorak rasmi dan lebih kepada pegawai kerajaan dan tidak sampai ke peringkat sekolah mahupun disokong oleh badan bukan kerajaan (NGO)," katanya kepada Bernama di sini.

Profesor Antropologi Sosial itu berkata program sedemikian seharusnya diperluas dengan lebih menyeluruh termasuk dalam kalangan pemimpin seperti anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri.

"Kempen ini ialah sesuatu yang baik dan perlu diteruskan. Ini bagi menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negara ini dan pastinya bagi mengeratkan lagi hubungan sesama kaum," katanya.

Pakar pembangunan polisi Prof Madya Dr Azahari Ismail pula berkata kesan program Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni terhadap masyarakat adalah sedikit dan masih belum menjadi sebahagian budaya masyarakat kini.

"Budi bahasa dalam masyarakat kita belum lagi mencukupi. Kempen ini bagus tetapi kita tidak boleh bergantung kepada kempen rasmi sahaja dan perlulah dimasukkan ke dalam sistem pendidikan di sekolah," katanya.

PENGARUH ASING

Beliau juga berkata kemasukan pekerja asing ke negara ini juga memburukkan lagi tahap budi bahasa dalam kalangan masyarakat.

Contohnya pekerja asing di kedai mamak, yang kebanyakannya jika mahu mengambil kerusi atau pun sudu daripada meja pelanggan, tidak akan meminta kebenaran terlebih dahulu, katanya.

"Kempen budi bahasa akan dilunturkan oleh pengaruh luar seperti pekerja asing ini. Kita kena ajar mereka, kerana pekerja asing ini tidak diajar dengan budaya dan budi bahasa tempatan, dan tidak ada pihak yang mahu mengambil tanggungjawab membimbing mereka," katanya.

Dr Azahari berkata budi bahasa sesebuah masyarakat juga berkait rapat dengan kemudahan infrastruktur.

Sebagai contoh, katanya, ruang di pasar raya negara ini yang terlalu sempit tidak menggalakkan seseorang itu untuk berbudi bahasa.

"Satu lagi contoh yang kita boleh lihat ialah mengapa di lobi hotel misalnya tidak ada sampah dibuang merata-rata berbanding tempat lain. Ini kerana banyak tong sampah disediakan dan menghormati barang juga tergolong dalam berbudi bahasa. Inilah yang saya maksudkan tentang kaitan infrastruktur dan budi bahasa," katanya.

Menerusi pengamatannya semasa ke luar negara, Azahari berkata Amerika Syarikat merupakan sebuah daripada negara yang mempunyai budi bahasa yang tinggi.

"Jika kita mempunyai barang yang banyak dan mahu membuka pintu kereta misalnya, akan ada orang yang membantu membuka pintu ataupun membantu mengangkat barang. Berbeza dengan keadaan di negara ini," katanya.

PEMIMPIN BELUM HAYATI KEMPEN

Sementara itu, pensyarah komunikasi ucapan di UPM, Prof Madya Dr Abdul Mua'ti@Zambri Ahmad berkata pemimpin secara umumnya masih belum menghayati program Budi Bahasa ini.

"Kempen ini sepatutnya ditumpukan kepada golongan pemimpin dalam masyarakat terdahulu yang mana semua tindakan pemimpin ini akan menjadi ikutan. Bila pemimpin sendiri sudah menghayati kempen ini maka mereka akan dijadikan contoh," katanya.

Dr Zambri yang telah menerbitkan pelbagai buku termasuk Panduan Pengucapan Awam dan Santun Komunikasi berkata pada setiap semester beliau membawa pelajarnya untuk melihat sendiri anggota Parlimen berdebat.

"Secara keseluruhannya, daripada 10 lawatan yang diadakan hanya satu kelas sahaja yang mengatakan mutu perdebatan anggota Parlimen baik dan selebihnya mengatakan perdebatan yang diadakan semasa kelas lebih baik mutunya berbanding di Parlimen," katanya.

Beliau berkata pemimpin perlu bercakap berdasarkan fakta dan dalam keadaan rasional bukan hanya bersandarkan emosi.

BAHAS BOLEH DILAKUKAN SECARA HARMONI

Katanya anggota Parlimen dan juga Adun seharusnya menyampaikan mutu perdebatan yang lebih berkualiti dan cara berbahas yang bersesuaian dengan institusi Parlimen ataupun DUN yang dianggap mulia itu.

"Cara berbahas ini banyak yang perlu ditekankan yang pertama sekali ialah mengenai bahasa. Bahasa haruslah menggunakan bahasa yang baik biarpun tidak menggunakan bahasa yang indah, janganlah mereka ini memaki hamun, memalukan atau menjatuhkan air muka orang lain kerana ia tidak sesuai," katanya.

Selain itu katanya nada penyampaian perlu bersesuaian dengan status pemimpin itu.

"Kini saya lihat ada anggota Parlimen yang terjerit-jerit semasa dalam perbahasan. Perbahasan sebenarnya boleh dilaksanakan secara harmoni dengan penggunaan bahasa yang baik sejajar program Budi Bahasa ini," katanya, umpama ungkapan pantun budi ini:

Tingkap papan kayu bersegi

Sampan sakat di Pulau Angsa

Indah tampan kerana budi

Tinggi darjat kerana bahasa

-- BERNAMA

Rabu, 16 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

 Situasi: Guru Perlu Bersatu Hati.

Guru Perlu Sokong Satu Sama Lain
Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my


Seronok...pelbagai cara boleh diguna pakai untuk menyampaikan ilmu, yang penting pelajar memperoleh kebaikannya. 


Isunya remeh namun sikap segelintir guru subjek teras yang memandang rendah terhadap guru subjek pilihan sangat dikesali.
Meskipun kedua-duanya berperanan sama penting, sikap suka bertanding atau membeza-bezakan antara satu sama lain mampu mencetuskan konflik dan mewujudkan pertelingkahan.


Apa sudah jadi...perlu kreatif untuk menarik minat pelajar belajar, kalau tidak senario seperti ini pasti berlaku.  



Tunjuk kemahiran...subjek pilihan alternatif bagi membantu pelajar mengenali bakat diri sendiri. 



Komitmen...guru subjek teras perlu menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan kecemerlangan pelajar namun itu bukan alasan untuk mendabik dada sekali gus mengeruhkan perhubungan.


Bincang...sekiranya timbul konflik, jalan perbincangan adalah landasan terbaik bagi menjernihkan kekalutan.


 
Apatah lagi jika masing-masing cuba mengangkat diri sendiri seolah-olah yang terbaik hingga menjadikan pelajar mangsa keadaan dan tersepit membuat pertimbangan.

Walaupun masih belum ketara, fenomena ibarat api dalam sekam ini perlu dicantas awal supaya tidak ‘meletup’ hingga mampu menjejaskan kredibiliti warga pendidik sekali gus mencalar integriti perguruan.

Persoalannya, mengapa situasi remeh ini perlu berlaku sedangkan sekolah seharusnya menjadi institusi bersih, bebas daripada konflik dan emosi, manakala guru hanya perlu fokus terhadap pembangunan ilmu serta kejayaan pelajar.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, cawangan Kedah, Anuar Husin, berkata sikap suka memperlihatkan kepentingan dan keutamaan menjadi faktor kewujudan pertelingkahan meskipun semua guru berperanan sama penting dalam proses penjanaan ilmu.

Menurutnya, situasi bertambah buruk apabila ibu bapa terlebih memberi perhatian dan penghargaan kepada guru subjek teras hingga guru subjek pilihan seolah-olah guru terpinggir.

“Apabila hanya segelintir guru saja mendapat pujian, sudah tentu perasaan kurang senang wujud di kalangan guru lain. Lebih runcing jika ibu bapa hanya nampak sumbangan satu pihak yang lebih mendominasi.

“Senario ini tidak normal jika ingin menjadikan sekolah sebagai medan ilmu kerana pertembungan ketidakpuasan hati akan menimbulkan protes dan rasa persaingan tidak sihat. Masing-masing ingin membuktikan dialah yang terbaik.

“Sedangkan sumbangan semua guru sama dan perlu menyokong antara satu sama lain tanpa iri hati. Ini sekolah yang mendokong falsafah pendidikan negara, bukan medan ‘pertarungan’ untuk keluar sebagai wira,” katanya.

Tanggapan hanya subjek teras penting dalam mekanisme pendidikan negara perlu diubah kerana kini subjek pilihan turut menentukan kelayakan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Ia juga alternatif membantu pelajar mengenali potensi diri dan mencungkil bakat dalam bidang tertentu yang boleh membantu pemilihan kerjaya masa depan.

Beliau berkata penentuan sama ada subjek teras atau pilihan yang membantu melonjakkan prestasi pelajar adalah subjektif kerana setiap individu berbeza.

“Ada pelajar boleh cemerlang dalam akademik, ada pula sebaliknya, justeru bagaimana mungkin jika ada menyatakan hanya guru tertentu saja boleh menjana kecemerlangan pelajar?

“Subjek teras atau pilihan diwujudkan bertujuan mengimbangi keperluan pelajar supaya tahu dan mengenali potensi masing-masing. Jika guru bertelagah atau dilanda perasaan iri hati, bagaimana nasib pelajar ini yang memerlukan bimbingan?

“Sebenarnya rasa kepentingan subjek itu tidak penting kerana pengakhirannya hanya menjurus pada satu matlamat saja iaitu kecemerlangan dan kejayaan pelajar,” katanya.

Pelajar katanya akan silih berganti namun guru masih perlu menjalankan tugas hingga akhir hayat.

“Simboliknya, sama ada guru subjek teras atau tidak, mereka hanya perlu melaksanakan tugas dengan baik. Mengapa mesti ada perbalahan atau kekecohan kerana isunya sangat remeh dan memalukan.

“Guru, ibu bapa, sekolah atau masyarakat sendiri seharusnya menilai dan meletakkan matlamat bagaimana mahu menjadikan pelajar itu berjaya dalam semua bidang, bukan menjadikan mereka tersepit di tengah kemelut perbandingan,” katanya.

Meskipun mengakui kepentingan masyarakat hari ini lebih menjurus kepada akademik, beliau berkata pilihan lain juga perlu diseimbangkan.

“Bukan semua pelajar mampu berdepan tekanan atau mampu merealisasikan kecemerlangan menerusi pencapaian akademik. Subjek pilihan boleh menjadi alternatif bagi membantu meredakan tekanan.

“Malangnya masyarakat tidak faham dan tetap mahukan kecemerlangan akademik, guru pula dihambat masalah persaingan. Dihantui situasi ini, bolehkah pelajar berjaya?

“Kepentingan bukan membuat penilaian pada guru namun menjaga kebajikan pelajar selain menjadikan sekolah bebas daripada konflik,” katanya.

Pada masa sama, masyarakat terutama ibu bapa perlu mengubah mentaliti dan bersama memberi sokongan padu kepada guru tanpa perlu membuat penilaian peribadi.

Ibu bapa, katanya, perlu akur semua guru berperanan dalam melonjakkan frekuensi pelajar dan tiada mahu melihat kegagalan.

Guru pula mengetepikan perasaan cemburu atau ego dan bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab.

“Masyarakat tidak perlu memberi label tertentu kepada guru sebaliknya perlu anggap diri mereka sumber kejayaan anak. Manakala guru tidak perlu mendabik dada sebaliknya menunjukkan integriti tinggi dan profesional.

“Dengan cara ini mereka lebih dihormati. Jadikan sekolah tempat harmoni bukan meraih populariti,” katanya.

Guru muzik di SM Asma (SAS), Kedah, Khairil Fauzi Ali, berpendapat subjek pilihan juga penting bagi menceriakan pelajar sewaktu proses pembelajaran.

“Subjek pilihan boleh menjadi penawar dan boleh menjadi mekanisme meredakan tekanan. Saya berpendapat, jika pelajar seronok datang ke sekolah, masalah ponteng tidak akan berlaku.

“Di negara barat, mereka menggunakan cara ini untuk membina kemahiran diri juga sebagai persediaan menjalani kehidupan, tidak salah kalau mencontohinya,” katanya.

Sebaliknya, guru subjek teras di sebuah sekolah di Alor Star, Azahar Hashim, berkata tidak salah ibu bapa memberi sedikit kelebihan kepada guru subjek itu kerana mereka lebih tertekan.

“Kami sentiasa tertekan kerana sering dipantau pengetua mengenai pencapaian pelajar, kebanyakan ibu bapa juga lebih mementingkan akademik.

“Tidak salah, kami memperoleh lebih penghargaan daripada ibu bapa sebagai membalas usaha memastikan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.
Rabu, 16 Mac 2011

KOMEN:
Pada pendapat saya, biarlah antara guru itu saling memikirkan cara untuk meningkatkan prestasi pelajar daripada memikirkan cara menyingkirkan subjek di sekolah yang tidak membantu dalam peningkatan pelajar, iaitu subjek-subjek elektif. Kerjasama antara guru yang mengajar subjek teras dan elektif wajar dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini. Hal ini kerana, konsep pembelajaran sepanjang hayat perlu diterapkan dalam diri pelajar, sekiranya mereka tidak pandai dalam subjek teras, namun mereka boleh meningkitkan hidup mereka melalui kemahiran-kemahiran yang terdapat dalam subjek elektif. guru harus bijak dan tahu setiap pelajar mempunyai tahap kecerdasan pelbagai (multiple intelligent) dan kepandainan yang berbeza. Guru juga harus berfikiran kreatif dan aktif dalam pengajaran di dalam kelas kerana melalui aktiviti yang pelbagai pelajar akan berasa seronok untuk belajar subjek yang guru itu sendiri ajarkan.

Selasa, 15 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

 Situasi: Macam-macam Kes.

Bomoh ‘nyah’ Tukar Emas Jadi Beras
Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Seorang bomoh ‘mak nyah’ memperdayakan seorang warga emas supaya menyerahkan kepadanya barangan kemas dan wang tunai RM28,000 dengan mendakwa hartanya akan hilang disedut dan bakal terkena bala angkara perbuatan khianat.
Bomoh ‘mak nyah’ itu juga mendakwa mampu memulihkan warga emas itu jika dia menyerahkan barangan kemas dan wang tunai untuk ditapakan di kayangan oleh Dewa Mayang Mengurai dan Kiai.

Turut menjadi mangsa bomoh dua alam itu ialah datuk saudara dan sepupu mangsa yang masing-masing kerugian RM50,000 dan RM 27,000, selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas untuk dipertapakan. Bagaimanapun, harapan mangsa menyelamatkan barangan kemas dan wang tunai itu musnah apabila ia bertukar menjadi beras.
Dalam kejadian bulan lalu, mangsa, Esah Yaakub, 59, yang ditemani suami dan dua anaknya ke rumah bomoh berusia 30-an di Kampung Paya Mengkuang untuk mengambil barang yang siap dipertapakan dewa kayangan itu.

“Sebelum pulang ke rumah kami, bomoh terbabit mengarahkan supaya jangan membuka beg kecuali selepas tiba di rumah.

“Apabila kami keluar dari rumah bomoh itu, anak saya mengesyaki sesuatu tidak kena sebelum mengambil beg dan membukanya. Kami terkejut apabila mendapati hanya beras di dalam beg dan bukannya wang serta barang kemas yang diberikan kepadanya sebelum ini.
 “Kami masuk semula ke rumah bomoh berkenaan untuk meminta penjelasan dan dia yang menyedari tembelangnya pecah mula berlakon seolah dirasuk makhkuk alam ghaib dan bercakap dengan nada suara garau.

“Berang dengan gelagatnya itu, anak saya hilang sabar dan mengheretnya ke balai polis sebelum bomoh itu ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Esah berkata, dia mengenali bomoh dua alam itu melalui datuk saudaranya Februari lalu kerana ingin mengubati sakit badan.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan harta saya akan hilang kerana disedut individu yang iri hati terhadap saya,” katanya.

Katanya, bomoh itu memujuknya menyerahkan wang tunai dan barang kemas dalam simpanan untuk dipertapakan bagi mengelak ia hilang disedut makhluk dari alam ghaib.

“Saya sering berulang-alik ke rumah bomoh berkenaan untuk proses perubatan secara alam ghaib dalam pada masa sama dia mempengaruhi saya dengan pelbagai cerita karut membuatkan saya percaya apa diperkatakannya. “Memang bingung apabila dimaklumkan wang simpanan dalam akaun bank juga boleh disedut apa lagi barang kemas, namun disebabkan risau dakwaan itu benar saya menyerahkan kepadanya tanpa usul periksa. “Malah, saya juga sanggup mengeluarkan wang daripada akuan pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan memindahkannya ke akuan bank baru.

“Seperti dipukau kad mesin juruwang automatik (ATM) akaun baru itu diserahkan kepada bomoh dua alam berkenaan,” katanya. Selepas tembelang bomoh itu terbongkar, Esah hanya terkedu apabila barang kemasnya lesap dan baki dalam akaun bank baru hanya tinggal RM11, manakala barang kemas miliknya dipercayai digadai. Sepanjang tempoh berubat dengan bomoh dua alam itu, Esah mendakwa sakit badannya bertambah teruk menyebabkan dia percaya ada orang iri hati dan menggunakan sihir terhadapnya supaya lumpuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa di Balai Polis Tanjung Kupang.

“Siasatan berhubung kes itu masih dijalankan dan berharap mangsa memberi masa kepada polis menyelesaikan kes ini,” katanya. 


KOMEN:
Masyarakat sekarang sanggup melakukan apa-apa sahaja bagi mendapatkan apa yang mereka hajati dengan segera tanpa perlu berusaha. Walaupun, dunia semakin meningkat global, namun masyarakat kini terutamanya orang Melayu masih mengamalkan amalan mempercayai bomoh. Amat bagus sekiranya bomoh yang dipercayai itu tulen dan dapat membantu kita tanpa melibatkan unsur-unsur syirik dan khurafat, misalnya bomoh yang mengamalkan perubatan Islam, namun sekiranya bomoh itu palsu ditambah lagi tidak tulen maka amalan mempercainya amat dilarang sama sekali. Namun, hendaklah berhati-hati ketika berjalan keluar rumah,  janganlah tertipu dengan penampilan orang biasa kerana mereka juga berpotensi menjadi bomoh, iaitu menggunakan ilmu pukau untuk mengaburi kita. Misalnya, si penipu ini akan mencalitkan minyak wangi pukauan di badan ketika tersenggol, apabila mangsa sudah terpukau, penipu tersebut dengan dengan senang hati mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang yang berharga kepadanya. Setelah si penipu pergi, baharulah si mangsa akan tersedar dan masa itu tiada gunanya lagi kerana  semua harta termasuk duit dan barang kemas sudah tiada di badan lagi.

                                         Sekarang ramai yang tertipu dengan bomoh palsu.

Isnin, 14 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

Situasi : Penangan Hantu Kak Limah.


Saya dan kawan-kawan selalu membuat lawak di dalam kelas. Setiap lawak tersebut pasti akan diselitkan dengan dialog-dialog yang terdapat dalam filem hantu komidi, Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid. Saya dan rakan-rakan sangat suka menonton filem ini kerana lawaknya yang bersahaja dan jujur, tidak dibuat-buat oleh para pelakonnya sehingga kami akan terikut-ikut pada masa-masa tertentu untuk menambahkan keceriaan di dalam kelas. Filem ini benar-benar lucu jika kita hayati dialog-dialognya kerana setiap dialog yang terdapat dalam filem ini membawa mesej atau maksud tersirat yang tertentu yang membawa pengajaran kepada para penontonnya.


Hantu Kak Limah Balik Rumah Sebuah Komidi Jujur.
Ditulis oleh Nonie   
Khamis, 25 November 2010 13:56   


Pecah panggung dengan jerit tawa memenuhi ruang. Kesinambungan daripada filem Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) masih mengekalkan genre komedi seram dan penuh kejutan. Walau tidak membariskan bintang ternama atau memaparkan adegan seksi, HKLBR tetap menarik dan menghiburkan.
    Sutradara Mamat Khalid

Mungkin daripada tajuk, penonton boleh mengagak apa yang bakal berlaku kepada jalan penceritaannya, namun filem ini bukanlah klise seperti yang ada pada sesetengah filem tempatan. Menegaskan filem arahannya merupakan anti tahyul, Mamat Khalid berkata ini adalah cara untuk menonjolkan budaya Melayu penuh dengan budaya tahyul yang terlalu kuat.

"Filem ini merupakan sebuah filem abang yang jujur yang disampaikan melalui komedi. Abang cuba menunjukkan bahawa masyarakat kita kuat dengan budaya tahyul. Walaupun sudah maju ke depan, namun tahyul masih menguasai pemikiran.

"Banyak juga kritik sosial dan metafora yang cuba diselitkan dan harapnya penonton akan faham apa yang cuba disampaikan. Sebagai contoh kalau kita penagih, seumur hidup orang akan gelar begitu.

"Abang baiki apa kekurangan dalam Zombi Kampung Pisang berdasarkan kritikan yang diterima menerusi filem ini. Cuma topik penceritaan dan karektornya berlainan, namun masih berlaku di Kampung Pisang. Walau watak baru diperkenalkan, namun ia cukup kuat untuk mengaburi watak lama," kata sutradara terkenal ini.

Filem terbitan Tayangan Unggul ini menelan belanja RM1.5 juta dan lokasi penggambarannya dijalankan di sekitar Kuala Kangsar. ManggaOnline (MO) cukup terhibur dengan jenaka dan sindiran yang cukup tajam apabila menyentuh isu sosial yang berlaku. Bukan niat menimbulkan kontroversi, Pengarah Terbaik FFM21 hanya sekadar menyuarakan isi hati melalui karya.

"Harapnya penonton dapat menangkap dialog yang diselitkan yang menyentuh isu masyarakat. Terimalah dengan hati terbuka dan jangan rasa marah sehingga mengganggu konsentrasi. Matlamat utama filem ini hanyalah untuk berhibur. Secara jujur abang sendiri lebih sukakan HKLBR kerana durinya lebih tajam.

"Abang yakin jika tak tonton Zombi Kampung Pisang pun masih boleh faham dan mengikuti HKLBR kerana ia berdiri sendiri dengan penceritaannya. Jika terhibur baguslah, namun jika faham apa yang cuba disampaikan, itu merupakan satu bonus," katanya menjelaskan watak Kak Limah memang direka khas buat Delimawati.


Filem ini harus ditonton kerana lawak jenakanya segar dan mampu membuatkan penonton menjerit ketakutan melihat Hantu Kak Limah. Dan sebahagian dialognya masih melekat dalam kepala. Jika dulu mungkin 'otak otak' menjadi sebutan. Dan kini dalam HKLBR dialog 'cecite cecite' ketika orang kampung sakan berbual, mungkin bakal menjadi ikutan.

HKLBR mengisahkan Husin yang telah lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya,

Kak Limah langsung tidak bercakap dan rambut yang mengerbang semacam. Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur. Husin bergegas ke warung Pak Munawer, lalu menceritakan kepada orang-orang kampung yang mungkin Kak Limah sudah menjadi hantu. Siapa yang berjaya menghurai misteri hantu Kak Limah tersebut? Temui jawapannya dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Filem ini dibintangi oleh Awie, Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera, Pekin, Shoffi Jikan dan Delimawati. Filem best ini akan mula ditayangkan pada 9 Disember 2010. 


                                    Antara barisan pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah 

Jumaat, 11 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

Situasi : Apabila Tsunami Melawat Jepun.


Badai dugaan dalam kehidupan akan datang dan pergi tanpa dijemput begitu jugalah badai bencana alam, iaitu tsunami yang datang dan pergi dalam sekelip mata seperti yang berlaku di Jepun baru-baru ini. ingatlah, tidak semua tempat selamat daripada bencana alam. Kini, jika yang mana tinggal di tepi pantai akan dilanda tsunami, jika tinggal di atas tanah tinggi pula akan mengalami runtuhan, jika tinggal di tanah rendah akan mengalami banjir besar, dan jika tinggal dalam bangunan canggih juga akan mengalami gegaran tanah dan runtuhan bangunan. Oleh yang demikian, kita sebagai manusia seharusnya bersyukur kerana masih hidup dan selamat di tempat kita berada sekarang.



 
Tsunami yang sangat ganas setinggi 10 meter kesan daripada gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang terkuat pernah dicatatkan. 


TOKYO, 11 Mac – Tsunami yang sangat ganas setinggi 10 meter kesan daripada gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang terkuat pernah dicatatkan melanda Jepun, meragut beribu-ribu nyawa penduduk ketika ia menghentam bot, kereta dan kediaman manakala kebakaran meletus tanpa kawalan.

Amaran tsunami dikeluarkan ke seluruh Pasifik, sehingga sejauh Amerika Selatan, Kanada, Alaska dan seluruh pantai barat Amerika Syarikat.

Menurut polis Jepun, dianggarkan antara 200 hingga 300 mayat ditemui di kawasan perairan Sendai, bandar paling dekat dengan pusat gempa bumi.

Polis berkata, setakat ini 88 orang disahkan terbunuh dan 359 orang masih dilaporkan hilang.

Angka kematian dijangka terus meningkat berdasarkan skala bencana alam berkenaan. Orang ramai diberi amaran untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Siaran televisyen turut memaparkan kebakaran dan kepulan asap hitam sekitar bangunan di Odaiba, pinggir bandar Tokyo dan perkhidmatan kereta api laju ke arah utara terpaksa dihentikan.

Rakaman televisyen turut menunjukkan bot, kereta dan trak terapung di atas air selepas tsunami kecil melanda bandar Kamaichi yang terletak di utara Jepun.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan berkata, kerajaan telah mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Gempa bumi ini mengakibatkan kemusnahan besar di bahagian utara Jepun. Kerajaan akan menjalankan semua usaha yang perlu bagi memastikan keselamatan rakyat dan meminimumkan kerosakan,” katanya pada satu sidang media khas.

Agensi berita Kyodo melaporkan, beberapa kebakaran turut berlaku di bandar Sendai, yang menyaksikan ombak besar menghanyutkan kenderaan di landasan lapangan terbang.

Di wilayah Wakayama, 20,000 penduduk diarahkan berpindah selepas amaran tsunami dikeluarkan dan beberapa gegaran susulan melanda.

Menurut wartawan Reuters, Mariko Katsumura, penumpang kereta api bawah tanah menjerit dan memegang tangan penumpang lain. Gegaran yang terlalu kuat membuatkan mereka sukar untuk berdiri.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) sebelum ini mengesahkan gempa bumi tersebut berlaku kira-kira 130 kilometer di timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer.

Pasaran saham Tokyo turut mengalami kerugian selepas gempa bumi itu diumumkan. Menurut bank pusat, mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan kewangan kembali stabil.

(sumber: http://www.namaberita.com/2011/03/tokyo-11-mac-tsunami-yang-sangat-ganas.html)

Khamis, 10 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

Situasi : Hikayat Merong Mahawangsa, Mahu Tahu Sejarahnya daripada  Buku atau Filem?


Bagi saya, sekiranya saya mahu mengetahui dengan lebih mendalam tentang hikayat ini, saya pasti akan membacanya melalui buku-buku sejarah yang ada mengisahkan hikayat ini. Namun, sekiranya saya mahu melihat ceritanya secara visual maka saya akan menontonnya di pawagam menerusi filem Hikayat Merong Mahawangsa. Walau bagaimanapun, bagus untuk kita membaca ceritanya terlebih dahulu menerusi buku-buku sejarahnya kemudian baharulah menonton filemnya kerana kita boleh membuat perbandingan antara kedua-duanya berdasarkan jalan cerita, watak dan perwatakan, struktur cerita, penggunaan bahasa atau latarnya dengan lebih jelas kerana berkemungkinan cerita dan sejarah sebenar dalam filem itu tidak semuanya diadaptasi daripada sumber buku kerana besar kemungkinan ada yang ditokok- tambah dan diubah sana dan sini. Namun, bergantung kepada individu itu sendiri mahu mengetahui sejarah sebenarnya daripada sumber yang mana kerana sejarah hikayat ini juga ada yang mitos, namun  hikayat ini masih menjadi kepercayaan kepada masyarakat Melayu  secara khususnya.
                        
                                                                           BUKU
                            Buku Hikayat Merong Mahawangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


                                   Manuskrip yang ada menerangkan tentang Hikayat Merong Mahawangsa.



                                                                                   ATAU


                                                                                  FILEM?
                                  Filem Hikayat Merong Mahawangsa (KRU Studio).


Rabu, 9 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

 Situasi: Dari Tata Bahasa turun ke Budi Bahasa


Seperti kata seorang pujangga, 'dari mata turun ke hati', begitulah juga bila kita bertatabahasa. Bila bertatabahasa maka akan lahirlah sifat berbudi bahasa. saya bersetuju dengan apa-apa yang ditulis oleh profabdullah di bawah,

Dari Mana Datangnya Tata Bahasa dan Budi Bahasa

 
Orang berbudi kita berbahasa.
Orang memberi kita merasa.
 
Dalam menggunakan bahasa, ada dua jenis peraturan penting. Pertama adalah peraturan-peraturan seperti sebutan, ejaan, tatabahasa, kosa kata, tanda baca dan lain-lain. Peraturan-peraturan ini dipanggil tatabahasa. Kedua ialah peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang, dan sebagainya. Peraturan-peraturan ini dipanggil budi bahasa. Malah, budi bahasa yang dijelaskan dalam bahagian berikut, adalah lebih penting.
        
          Budi bahasa belum mendapat tempat sewajarnya dalam kursus bahasa Melayu baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Orang-orang Melayu yang tidak bersekolah mahir menggunakan bahasa tanpa belajar budi bahasanya. Mereka pandai menggunakan bahasa hormat apabila bercakap dengan pegawai-pegawai tinggi di pejabat-pejabat kerajaan. Orang-orang bukan Melayu yang belajar tatabahasa bahasa sahaja, mungkin mengalami masalah apabila tidak diajar peraturan-peraturan budi bahasa.
         
          Pada masa ini, akibat adanya anak-anak Melayu yang membesar di luar suasana yang dapat menanamkan budi bahasa ini, kita mula berhadapan dengan keadaan bahawa ada anak-anak Melayu sendiri yang tidak mendapat pendidikan budi bahasa ini secara tradisional, maka berlakulah kelemahan dalam penggunaan bahasa yang santun ini. Daripada pengalaman kita dapat mengetahui bahawa peraturan-peraturan budi bahasa ini kita pelajari melalui sistem pesekitaran budaya penggunaan bahasa tersebut. Kita dilatih dan diasuh oleh ahli keluarga dalam budaya yang kita amalkan. 
Terakhir dikemaskini (Isnin, 05 Julai 2010 23:22)


KOMEN:
Tidak semestinya orang yang berbudi bahasa mempunyai tata bahasa yang betul, dan tidak semestinya juga orang yang tahu tata bahasa merupakan orang yang berbudi bahasa. Oleh yang demikian, kita haruslah tahu kedua-duanya sekali agar  seimbang.  Kita harus tahu bila, di mana, siapa dan bagaimana cara menggunakan kedua-duanya sama ada yang berketurunan Melayu mahupun yang bukan Melayu.