Salutasi

Jumaat, 18 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

Situasi : Tindakan Kolektif Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap Bencana Alam yang Menimpa Jepun.


Kejadian bencana alam di Jepun turut mengundang simpati dalam kalangan ahli-ahli DUN hari ini apabila mereka semua mengambil kata sepakat akan menghantar surat takziah kepada pihak Kementerian Jepun ke atas rakyatnya yang mengalami penderitaan akibat kejadian tersebut. Sekiranya kesepakatan ini berterusan dalam menangai permasalahan rakyat di Malaysia maka tiadalah lagi persengketaan politik berlaku. Tindakan ini juga sebenarnya merupakan tindakan awal ke arah perpaduan tanpa mengira lambang politik kerana semuanya mempunyai matlamat yang sama, iaitu mahu membela hak rakyat. Saya amat berbangga dengan tindaka yang akan dilakukan oleh ahli-ahli DUN hari ini kerana kita harus ingat akan pepatah Melayu ini, ' Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa'.


Dewan Lulus Usul Takziah kepada Jepun
Oleh Nazura Ngah, Norakmah Mat Youb dan Zanariah Abd Mutalib
bhnews@bharian.com.my

2011/03/18

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DewanlulususultakziahkepadaJepun/Article 


Najib dan Muhyiddin bersama Ahli Parlimen bertafakur mengenang mangsa gempa dan tsunami Jepun pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan usul mengucapkan takziah dan dan menzahirkan simpati yang sangat mendalam kepada kerajaan Jepun dan mangsa tragedi gempa bumi serta tsunami di timur laut Jepun pada 11 Mac lalu. 

Ahli Parlimen dan persidangan juga bertafakur seminit sebagai mengingati tragedi yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan teruk negara Matahari Terbit itu.
Usul yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) diluluskan sebulat suara selepas sesi penggulungan perbahasan oleh Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Sebelum itu Dewan mendengar perbahasan sembilan Ahli Parlimen masing-masing tiga daripada Barisan Nasional (BN), pembangkang dan wakil Bebas.

Mereka ialah Datuk Dr S Subramaniam (BN-Segamat), Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) dan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Tian Chua (PKR-Batu), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku di Jepun adalah sesuatu yang amat menyedihkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terutama negara Asia.
Sebagai negara yang akrab dengan Jepun, Malaysia turut merasakan beban yang terpaksa ditanggung rakyat negara itu.

“Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Adalah wajar jika Malaysia menawarkan dan menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang termampu oleh negara kita. Marilah kita berdoa supaya kerajaan dan rakyat Jepun dilindungi daripada gempa bumi dan tsunami serta membangunkan semula akibat bencana itu,” katanya.

Sehubungan itu Perdana Menteri meminta semua Ahli Parlimen bersama, sepakat dan seia sekata menyampaikan rasa simpati dan ucapan takziah yang amat dalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun.

Perdana Menteri berkata, mengikut rekod Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, ada 5,009 rakyat Malaysia berdaftar dengan kedutaan dan 2,465 ialah pelajar. Seramai 298 pelajar kita berada di kawasan yang terjejas teruk akibat gempa dan tsunami dan dilaporkan selamat.

Beliau turut mencadangkan Dewan merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas segala bantuan yang diberi kepada rakyat Malaysia, terutama pelajar Malaysia yang terjejas oleh malapetaka itu.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengambil langkah awal seperti menghantar dua pasukan memantau dan meninjau keadaan rakyat serta pelajar Malaysia yang dipindahkan ke pusat pemindahan. Hasil tinjauan mendapati mereka dalam keadaan baik, menerima bekalan makanan dan minuman mencukupi,” katanya.

Perdana Menteri turut meminta rakyat dan masyrakat antarabangsa terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Jepun.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyokong usul berkenaan, berkata ia memberikan gambaran sangat jelas mengenai pendirian Malaysia yang mempunyai hubungan akrab dengan Jepun.

Beliau meminta rakyat bertenang dan tidak mempercayai SMS yang kononnya Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan kebocoran radiasi akibat letupan loji reaktor nuklear.


 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan