Salutasi

Jumaat, 11 Mac 2011

Diari Sosiolinguistik

Situasi : Apabila Tsunami Melawat Jepun.


Badai dugaan dalam kehidupan akan datang dan pergi tanpa dijemput begitu jugalah badai bencana alam, iaitu tsunami yang datang dan pergi dalam sekelip mata seperti yang berlaku di Jepun baru-baru ini. ingatlah, tidak semua tempat selamat daripada bencana alam. Kini, jika yang mana tinggal di tepi pantai akan dilanda tsunami, jika tinggal di atas tanah tinggi pula akan mengalami runtuhan, jika tinggal di tanah rendah akan mengalami banjir besar, dan jika tinggal dalam bangunan canggih juga akan mengalami gegaran tanah dan runtuhan bangunan. Oleh yang demikian, kita sebagai manusia seharusnya bersyukur kerana masih hidup dan selamat di tempat kita berada sekarang.



 
Tsunami yang sangat ganas setinggi 10 meter kesan daripada gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang terkuat pernah dicatatkan. 


TOKYO, 11 Mac – Tsunami yang sangat ganas setinggi 10 meter kesan daripada gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang terkuat pernah dicatatkan melanda Jepun, meragut beribu-ribu nyawa penduduk ketika ia menghentam bot, kereta dan kediaman manakala kebakaran meletus tanpa kawalan.

Amaran tsunami dikeluarkan ke seluruh Pasifik, sehingga sejauh Amerika Selatan, Kanada, Alaska dan seluruh pantai barat Amerika Syarikat.

Menurut polis Jepun, dianggarkan antara 200 hingga 300 mayat ditemui di kawasan perairan Sendai, bandar paling dekat dengan pusat gempa bumi.

Polis berkata, setakat ini 88 orang disahkan terbunuh dan 359 orang masih dilaporkan hilang.

Angka kematian dijangka terus meningkat berdasarkan skala bencana alam berkenaan. Orang ramai diberi amaran untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Siaran televisyen turut memaparkan kebakaran dan kepulan asap hitam sekitar bangunan di Odaiba, pinggir bandar Tokyo dan perkhidmatan kereta api laju ke arah utara terpaksa dihentikan.

Rakaman televisyen turut menunjukkan bot, kereta dan trak terapung di atas air selepas tsunami kecil melanda bandar Kamaichi yang terletak di utara Jepun.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan berkata, kerajaan telah mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Gempa bumi ini mengakibatkan kemusnahan besar di bahagian utara Jepun. Kerajaan akan menjalankan semua usaha yang perlu bagi memastikan keselamatan rakyat dan meminimumkan kerosakan,” katanya pada satu sidang media khas.

Agensi berita Kyodo melaporkan, beberapa kebakaran turut berlaku di bandar Sendai, yang menyaksikan ombak besar menghanyutkan kenderaan di landasan lapangan terbang.

Di wilayah Wakayama, 20,000 penduduk diarahkan berpindah selepas amaran tsunami dikeluarkan dan beberapa gegaran susulan melanda.

Menurut wartawan Reuters, Mariko Katsumura, penumpang kereta api bawah tanah menjerit dan memegang tangan penumpang lain. Gegaran yang terlalu kuat membuatkan mereka sukar untuk berdiri.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) sebelum ini mengesahkan gempa bumi tersebut berlaku kira-kira 130 kilometer di timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer.

Pasaran saham Tokyo turut mengalami kerugian selepas gempa bumi itu diumumkan. Menurut bank pusat, mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan kewangan kembali stabil.

(sumber: http://www.namaberita.com/2011/03/tokyo-11-mac-tsunami-yang-sangat-ganas.html)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan