Salutasi

Isnin, 24 Januari 2011

Diari Sosiolinguistik

Lebuh raya Senawang menghala ke Tanjung Malim
Situasi: Kesesakan lalu lintas mencabar sikap manusia.


Diariku,
Di sini aku mahu menceritakan kepadamu tentang perkara yang berlaku pada hari Ahad semalam yang mana berlaku satu kesesakan yang amat teruk di lebuh raya Senawang. Aku menaiki kereta yang dipandu oleh suamiku untuk menghantarku pulang ke Tanjung Malim menyambung kembali masa-masa kuliahku yang telah ku tinggalkan selama seminggu kerana cuti Raya Cina. Di dalam menempuh dan mengharungi kesesakan lalu lintas ini, aku mengingatkan kepada suamiku agar sentiasa bersabar dan memandu dengan berkhemah mengikut undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.Namun, di celah-celah kesibukan itu ada juga pemandu yang kurang sabar dan mengikut 'undang-undang' mereka sendiri.  Di kala pemandu-pemandu lain menunggu giliran dalam barisan masing-masing yang amat panjang dan sesak, ada pemendu-pemandu lain dari arah barisan yang sebelah kiri memotong jalan, mereka mengambil jalan mudah dengan mengambil ruang di bahu jalan sebelah kiri bagi memotong kenderaan pemandu-pemandu lain. Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Di hujung jalan bahu jalan itu juga ada beberapa pegawai trafik yang sedang menunggu 'mangsanya' dengan menaiki dua motorsikal dan sebuah kereta. Apalagi, pemandu kenderaan yang mana  tidak sempat memotong jalan ditahan oleh mereka. Sudahlah  terperangkap dalam kesesakan,  denda saman trafik sebanyak RM 300 pula melayang dari tangan. Aku dan suamiku berasa lega dan bernasib baik mengikut peraturan jalan raya yang ditetapkan walaupun dalam kesesakan. Alhamdulillah, akhirnya selepas melepasi lebuh raya Senawang, lebuh raya berjalan lancar dan kami selamat tiba di Tanjung Malim walaupun sudah jam 10 malam.



KOMEN:
Setiap manusia mempunyai ragam dan sikap yang berbeza. Lain orang lainlah ragamnya. Namun, kita sebagai manusia yang bertamadun haruslah mematuhi peraturan dan undang-undang negara yang telah ditetapkan misalnya peraturan di jalan raya. Selain itu, sebagai pemandu, sikap sabar juga paling penting. Situasi tadi menyedarkan kita bahawa, apa salahnya bersabar sedikit ketika memandu walaupun dalam situasi kesesakan kerana sebagai pemandu kita harus tahu yang pemendu-pemandu lain juga mahu sampai ke destinasi yang di tuju dengan cepat sama juga seperti kita. Sekiranya kita sama-sama bersabar dan mengikut peraturan, maka tiadalah kes saman trafik berlaku. Ingatlah, jalan itu lurus dan bukan untuk kita seorang sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan