Salutasi

Khamis, 20 Januari 2011

Diari Sosiolinguistik..

Situasi: Ketika Naik Bas Balik ke Kolej Kediaman. 
21 Januari 2011

Pemandu bas yang terlalu 'berbudi-bahasa'.

Ketika itu, pelajar sedang berebut-rebut menaiki bas ke kolej kediaman. Keadaan yang terlalu sesak dan aku dihimpit oleh lautan pelajar lain ketika mahu berebut-rebut menaiki bas pulang. Bagaikan satu perjuangan merebut masuk ke dalam bas. Bagi yang sudah lepas masuk pasti akan merasa lega yang teramat sangat, dan bagi yang tidak lepas masuk ke dalam bas kerana sudah penuh  pasti akan merasa kecewa. Namun, perjuangan merebut bas ini membuat aku berasa letih. Bukannya tidak selalu aku melihat situasi ini berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), malah semenjak aku di semester satu lagi, perkara ini saban hari berlaku. Kalau dicerita dan dipersoalkan mengapa perkara ini sering berlaku memang tidak akan dapat jalan penyelesaiannya kerana sudah banyak usaha dan langkah telah dicadangkan, namun masalah kekurangan dan kekerapan bas untuk mengambil para pelajar pergi dan pulang kuliah masih tidak ada jawapannya sehingga kini.

Wahai diari, 
Namun, bukannya itu yang mahu aku ceritakan di sisi. Apa yang mahu aku ceritakan ialah sikap segelintir pemandu bas yang 'terlalu' berbudi bahasa. Ketika aku mahu turun dari bas yang aku naiki untuk pergi ke kuliah di kampus, ucapan terima kasih memang tidak akan lekang daripada mulutku kepada  pemandu bas yang membawa bas ketika itu. Hal ini kerana, memang menjadi satu budaya pelajar-pelajar di sini pasti akan mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas yang memandu bas membawa mereka setiap kali mahu menuruni tangga bas, sehinggakan jenuh rasanya pemandu bas mahu membalas ucapan " sama-sama" kepada setiap pelajar yang menuruni bas mereka. Tapi, ini merupakan budaya yang baik kerana nilai budi bahasa masih dipancarkan kepada setiap pelajar walau pun pada mulanya ketika mahu menaiki bas terpaksa berebut-rebut. Namun, lain pula kepada pemandu bas yang satu ini. Walaupun kami mengucapkan terima kasih, pemandu bas yang agak berusia itu tidak membalas "sama-sama" atau apa-apa perkataan pun. Dengan  muka kelat seperti menyindir, pemandu tersebut hanya menjeling ke arah kami. Bukan sekali, tetapi setiap kali  aku dan rakan-rakanku yang lain naik bas yang dialah pemandunya, setiap kali itulah dia melakukan tingkah-laku yang sama. Hal ini menjadi bualan kami setiap kali menaiki bas tersebut. Rasa kecil hati dan tersingguh masih boleh dirasai hingga kini. apa salahnya dengan hanya tersenyum atau mengucapkan balasan "sama-sama"? Tidak bolehkah bertindak berbudi bahasa juga walau dengan hanya senyuman?

KOMEN:

Pada pendapat saya, konsep budi bahasa sewajarnya menjadi amalan setiap rakyat di Malaysia tidak kiralah apa pekerjaan  kita. Walau hanya pemandu bas sahaja, sekiranya berbudi bahasa kepada para penumpang, ia akan menimbulkan kesan dan nilai yang baik kepada penumpang-penumpang yang lain. Walau tanpa dinyatakan dengan ucapan tutur kata, ianya boleh dizahirkan dengan bahasa badan atau "body language" yang tanpa kita sedari sedikit sebanyak memberi kesan mendalam kepada orang lain. Setiap bahasa badan yang kita lakukan memberi tafsiran makna tersendiri kepada sesiapa yang menyedarinya. Misalnya, pemandu bas tadi hanya menjeling kepada kami, pasti kami akan menafsirkannya bahawa pemandu bas tersebut membenci kami yang menaiki basnya dan mungkin juga dia tidak ikhlas terhadap pekerjaannya sebagai pemandu bas. Sekiranya dia memberi senyuman, pasti kami akan menganggap yang pemandu bas ini mengalukan kami sebagai penumpang bas yang lain dan mungkin kami akan menganggap bahawa dia amat ikhlas dalam pekerjaannya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan